fb fb fb fb fb

Prestasi positif sektor pertanian sokong pertumbuhan ekonomi negara

Foto hiasan

KUALA LUMPUR , 26 Disember - Sektor pertanian terus mencatatkan prestasi positif dengan pertumbuhan 3.1 peratus pada 2024, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara dan keterjaminan makanan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan memaklumkan, prestasi itu seiring dengan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.1 peratus kepada RM1.65 trilion pada 2024.

"Pertumbuhan sektor pertanian dipacu terutamanya oleh komoditi kelapa sawit yang merekodkan pertumbuhan 5.1 peratus, dengan sumbangan nilai ditambah sebanyak RM38.1 bilion, menjadikannya penyumbang terbesar kepada sektor berkenaan.

"Dari segi pengeluaran, buah tandan segar kelapa sawit mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 100.2 juta tan metrik, meningkat 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya," menurut kenyataan itu.

Peningkatan turut direkodkan bagi biji koko, sayur-sayuran, getah asli dan buah-buahan terpilih.

Dalam subsektor ternakan, bilangan ayam meningkat kepada 327.3 juta ekor, manakala pengeluaran daging ayam meningkat 13.7 peratus. Sementara itu, pendaratan ikan laut dan pengeluaran akuakultur air tawar, masing-masing mencatat peningkatan 9.6 peratus dan 5.7 peratus pada 2024.

Mengulas berkenaan guna tenaga, beliau menjelaskan,seramai 1.48 juta orang terlibat dalam sektor pertanian pada 2024, mewakili 9.0 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, dengan produktiviti buruh meningkat 2.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dari aspek perdagangan, eksport agromakanan dan hasil pertanian terpilih meningkat kepada RM179.2 bilion pada 2024, manakala import makanan berjumlah RM93.8 bilion, katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI