KUALA LUMPUR, 26 Disember - Indeks nilai unit eksport Malaysia mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.1 peratus kepada 154.0 mata pada November 2025 berbanding 154.2 mata pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam tempoh yang sama, indeks nilai unit import turut menyusut 0.1 peratus kepada 124.5 mata daripada 124.6 mata sebelum ini.
Sehubungan itu, terma perdagangan Malaysia menurun sedikit sebanyak 0.02 peratus bulan ke bulan (MoM) kepada 123.68 mata pada November 2025 berbanding 123.70 mata pada Oktober..
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan memaklumkan, penurunan indeks nilai unit eksport itu didorong kejatuhan bahan api galian, bahan mentah tidak boleh dimakan dan bahan kimia .
"Indeks volum eksport merosot 8.9 peratus,dipengaruhi penurunan eksport minyak dan lemak haiwan serta sayuran, jentera dan kelengkapan pengangkutan serta barangan perkilangan.
"Indeks volum eksport terlaras bermusim juga menurun 6.3 peratus kepada 165.9 mata daripada 177.1 mata. Bagaimanapun, dari segi perbandingan tahunan, indeks nilai unit eksport dan indeks volum masing-masing meningkat 3.3 peratus dan 3.7 peratus," menurut kenyataan itu.
Berkenaan prestasi import, beliau menjelaskan indeks nilai unit import susut 0.1 peratus dipengaruhi penurunan bahan kimia, bahan api galian serta jentera dan kelengkapan pengangkutan.
Sebaliknya, indeks volum import meningkat 0.8 peratus m-o-m, disokong oleh peningkatan dalam jentera dan kelengkapan pengangkutan serta barangan perkilangan pelbagai .
Sementara itu terma perdagangan Malaysia menunjukkan penurunan kira-kira 0.02 peratus pada November 2025, dipacu kejatuhan bahan api galian, bahan mentah tidak boleh dimakan serta makanan .
Namun, terma perdagangan negara meningkat 5.2 peratus tahun ke tahun kepada 123.7 mata berbanding 117.5 mata pada November tahun lalu.