KUALA LUMPUR, 26 Disember - Pelan Lima Tahun China dilihat mampu memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China, khususnya dalam bidang ekonomi berteknologi tinggi dan pembangunan masa hadapan.
Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia–China, Datuk Abdul Majid Ahmad Khan berkata, pelan berkenaan memberi tumpuan kepada pertumbuhan inovatif berasaskan pembangunan berkualiti tinggi
"Pada asasnya, pelan ini mempunyai empat objektif utama, antaranya untuk meningkatkan tahap pembangunan ekonomi yang telah dicapai China sepanjang 40 tahun lalu, ke satu tahap yang lebih tinggi melalui pengenalan pertumbuhan inovatif yang menekankan pembangunan berkualiti tinggi.
"Penekanan tersebut melibatkan pembangunan teknologi berteraskan masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, pembuatan pintar serta pelbagai teknologi termaju lain yang akan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Rangka Tindakan Baharu, Horizon Baharu: Taklimat Rancangan Lima Tahun Ke-15 China), di ibu negara.
Pendekatan itu membuka peluang baharu kepada kerjasama Malaysia–China, bukan sahaja dari segi perdagangan dan pelaburan, malah dalam pembangunan bakat serta pemindahan teknologi.
Pelan itu turut memberi peluang besar kepada syarikat tempatan untuk terlibat dalam sektor berteknologi tinggi, sekali gus mengukuhkan hubungan ekonomi strategik Malaysia–China pada masa depan.