fb fb fb fb fb

PR1MA disyor nilai semula strategi pembangunan projek perumahan, komersial

Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) disyor menilai semula strategi pembangunan projek perumahan dan komersial, berdasarkan keperluan serta pasaran semasa / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 6 Mac - Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) disyor menilai semula strategi pembangunan projek perumahan dan komersial, berdasarkan keperluan serta pasaran semasa.

Perkara itu dinyatakan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2022 yang dibentang di Dewan Rakyat.

Menurut laporan, penilaian berkenaan perlu dibuat bagi memastikan kebolehpasaran penjualan unit rumah dan komersial yang telah siap serta mencapai objektif pembangunan projek bagi menambah baik tunai juga kesetaraan tunai PR1MA.

"PR1MA mengalami kerugian bersih 0.257 billion ringgit pada 2022. Antara sebab kerugian bersih ialah penurunan hasil jualan rumah dan komersial sebanyak RM0.435 bilion atau 33.7 peratus kepada RM0.857 bilion berbanding RM1.292 bilion pada 2021.

“PR1MA mempunyai liabiliti berjumlah RM5.746 bilion setakat 31 Dis 2022,” menurut laporan itu.

Audit memaklumkan pengesyoran penilaian semula itu juga untuk memastikan unjuran aliran tunai daripada hasil penjualan unit rumah dan komersial boleh dicapai bagi membiayai aktiviti operasi dan pelunasan pembayaran Sukuk Tranche 2 berjumlah RM1.750 bilion yang akan matang pada 2024.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN