KUALA LUMPUR, 19 Disember - Prestasi perdagangan Malaysia terus mencatat pertumbuhan positif pada November 2025, dengan jumlah dagangan meningkat 11.1 peratus kepada RM263.8 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan ini didorong oleh permintaan luar yang lebih kukuh dengan eksport meningkat 7.0 peratus kepada RM135.0 bilion, manakala import melonjak 15.8 peratus kepada RM128.9 bilion.
Perkembangan ini menjadikan jumlah dagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga November 2025 mencecah RM2.8 trilion, mencatat pertumbuhan tahunan 5.8 peratus.
Menurut beliau, prestasi berkenaan disokong oleh pengukuhan eksport yang meningkat 6.1 peratus serta pertambahan import sebanyak 5.6 peratus secara keseluruhan.
"Lebihan dagangan pada November menyusut 58.8 peratus kepada RM6.1 bilion berbanding RM14.8 bilion sebelum ini, namun masih mencatat lebihan dagangan selama 67 bulan berturut-turut sejak Mei 2020," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas mengenai eksport pada November, Datuk Seri Dr Mohd Uzir berkata peningkatan eksport didorong oleh pertumbuhan eksport semula dan eksport domestik.
"Eksport semula yang menyumbang 22.0 peratus daripada jumlah eksport melonjak 40.3 peratus kepada RM29.8 bilion. Manakala eksport domestik yang merangkumi 78.0 peratus mencatat pertumbuhan marginal 0.3 peratus kepada RM105.2 bilion," katanya dalam kenyataan sama.
Tambah beliau, import meningkat 15.8 peratus kepada RM128.9 bilion, dipacu oleh peningkatan import barangan modal dan barangan perantaraan, manakala peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh Taiwan, China, Hong Kong, Kesatuan Eropah, Mexico, Singapura dan Viet Nam.
Kenaikan tersebut sebahagiannya disumbangkan oleh penghantaran yang lebih tinggi bagi barangan elektrik dan elektronik, barangan optik dan saintifik, bijih logam dan serpihan logam serta barangan perkilangan.
Kenaikan import pula dipacu oleh kemasukan barangan dari China, Costa Rica, Republik Korea, Emiriah Arab Bersatu, Taiwan, Oman serta Kesatuan Eropah.
Barangan yang diimport termasuk barangan elektrik dan elektronik, jentera, kelengkapan dan peralatan, bijih logam dan barangan optik dan saintifik.