KUALA LUMPUR, 19 Disember - Penambahan laluan bagi perjalanan udara pada bulan November dan Disember mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan strategik di Asia Tenggara, selain memperluas pilihan kesalinghubungan bagi penumpang perniagaan dan pelancongan.
Kenyataan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyebut, pertumbuhan positif itu turut dilihat menerusi peningkatan aliran trafik penumpang bagi rangkaian lapangan terbang kendaliannya.
Bagi November 2025, rangkaian lapangan terbang tempatan merekodkan 8.7 juta pergerakan penumpang, merangkumi 4.7 juta penumpang antarabangsa dan 4 juta penumpang domestik.
Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebagai pintu masuk utama negara mengendalikan 5.5 juta penumpang, meningkat satu peratus berbanding Oktober 2025.
Secara keseluruhan, lapangan terbang bawah MAHB termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) Turkiye, merekodkan pergerakan penumpang mencecah 12.9 juta bagi bulan berkenaan.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, kumpulan itu terus memberi tumpuan kepada pengembangan kesalinghubungan udara serta pengukuhan kecekapan operasi lapangan terbang sebagai persediaan menghadapi peningkatan permintaan perjalanan.
"Sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia, kami bekerjasama rapat dengan rakan syarikat penerbangan bagi menyokong peluasan rangkaian, mengoptimumkan jadual penerbangan dan meningkatkan kecekapan operasi menyeluruh di lapangan terbang.
"Pendekatan kolaboratif ini memastikan kapasiti, tahap perkhidmatan dan aliran penumpang sejajar dengan pertumbuhan, di samping menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan boleh dipercayai," katanya.
Antara laluan baharu yang diperkenalkan ialah perkhidmatan Spring Airlines dari Shanghai ke Kuala Lumpur, diikuti Xiamen Airlines yang memulakan penerbangan dari Hangzhou ke Kuala Lumpur.
TransNusa pula memulakan operasi dari Jakarta ke Pulau Pinang, manakala Loong Air mengendalikan penerbangan sewa khas dari Shenzhen ke Kuching.
Batik Air Malaysia turut memperluas rangkaiannya menerusi pelbagai perkhidmatan baharu, termasuk laluan Subang ke Singapura, Jakarta, Kualanamu dan Kansai serta laluan baharu dari Tashkent ke Langkawi.