KUALA LUMPUR, 25 Mac- Peningkatan kadar inflasi negara kepada 1.8 peratus bagi Februari 2024 disifatkan tidak membimbangkan.
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia, Profesor Dr. Yeah Kim Leng, ia memandangkan kenaikan berbanding 1.5 peratus pada bulan sebelumnya itu, masih berada di bawah unjuran yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM).
Jelasnya, BNM menyasarkan kadar inflasi keseluruhan pada paras purata dua peratus dan 3.5 peratus tahun ini.
"Secara keseluruhan, kami jangka sedikit peningkatan dalam inflasi tidak membimbangkan selagi ia meningkat secara berperingkat dan tiada lonjakan ketara dalam kos, selain kejutan besar dalam rantaian bekalan."
"Kami agak positif, kadar inflasi yang menyederhana tahun ini akan memberi kesan kepada unjuran pertumbuhan ekonomi yang disasarkan pada 4%-5% tahun ini," kata Profesor Dr. Yeah kepada pemberita, hari ini.
Beliau yakin kadar inflasi akan kekal rendah bagi tahun ini disebalik pelbagai ketidaktentuan dan langkah rasionalisasi subsidi.
Langkah rasionalisasi subsidi akan turut memberi kesan positif dengan memberi lebihan pendapatan kepada kumpulan sasar dan meningkatkan kuasa beli mereka.
Bagaimanapun, kerajaan masih perlu memantau risiko terhadap tekanan harga terutamanya dalam keadaan ringgit yang lemah dan peningkatan harga komoditi.