fb fb fb fb fb

Pasaran modal Malaysia, catat peningkatan - SC

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin

KUALA LUMPUR, 25 Mac- Pasaran modal Malaysia berkembang 5.6 peratus kepada RM3.8 trilion pada 2023 berbanding RM3.6 trilion tahun sebelumnya.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata prestasi menggalakkan itu sebahagian besarnya dipacu pasaran bon yang kukuh.

"Ia berkembang berbanding RM3.6 trilion tahun sebelumnya, ia dipacu oleh pertumbuhan dalam jumlah pemodalan pasaran dan bon dan sukuk yang cemerlang."

"Jumlah aset bawah pengurusan (AUM) mencecah paras tertinggi baharu sebanyak RM975.5 bilion berbanding RM906.5 bilion pada 2022," kata Datuk Seri Dr. Awang kepada pemberita, di ibu negara hari ini.

Menerusi perutusan Laporan Tahunan 2023 SC, jelasnya perkembangan positif pasaran saham bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini amat menggalakkan disebalik prestasi perlahan tahun lalu.

Pasaran dijangka kekal positif dengan penanda aras FBM KLCI diunjur sekitar 1,600 mata penghujung tahun ini.

Pasaran modal domestik dijangka kekal teratur dan terus memainkan peranan penting menyokong ekonomi disokong asas makroekonomi yang kukuh serta rangka kerja pasaran modal yang dipermudahkan.

Sementara itu, 3,262 aduan dan pertanyaan mengenai penipuan dan aktiviti tidak berlesen diterima Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tahun lepas.

Menerusi Laporan Tahunan 2023, SC menjelaskan jumlah itu meningkat ketara berbanding 774 aduan dan pertanyaan pada 2019.

Jelas Datuk Seri Dr. Awang, terdapat peningkatan melibatkan tatalaku syarikat awam tidak tersenarai dan entiti yang menawarkan produk 'Cash Trust'.

Kebanyakannya melibatkan pengunaan laman web palsu, media sosial dan akaun bank bagi mempromosi dan menjalankan aktiviti penipuan.

Sehingga 31 Disember 2023, sejumlah 569 URL turut dikesan berpotensi terlibat dalam menawarkan aktiviti tidak berlesen kepada rakyat di Malaysia.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM