fb fb fb fb fb

Pengumpulan terpilih dorong Bursa Malaysia dibuka tinggi

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 23 Julai - Bursa Malaysia dibuka sedikit tinggi pada Rabu, disokong oleh pelabur yang mencari nilai menerusi pengumpulan terpilih.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.63 mata kepada 1,520.03 daripada 1,519.40 ketika ditutup semalam.

Ketika dibuka, indeks penanda aras itu naik 0.08 mata kepada 1,519.48.

Jumlah dagangan sebanyak 126.93 juta saham bernilai RM68.23 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup rendah semalam sejajar dengan prestasi pasaran serantau yang lemah.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan pelabur yang mencari nilai akan terus menyokong pasaran melalui pengumpulan terpilih. Oleh itu, kami menjangkakan indeks penanda aras mengalami tidak banyak perubahan dan berlegar dalam julat 1,510 hingga 1,520 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata di peringkat global, Wall Street ditutup bercampur-campur, dengan S&P 500 mencatatkan rekod tinggi baharu pada 6,309.62 (+0.06 peratus) apabila pelabur menilai laporan pendapatan baharu, termasuk amaran tarif daripada General Motors.

Indeks Dow meningkat 0.4 peratus, manakala Nasdaq susut 0.39 peratus menjelang laporan pendapatan utama daripada syarikat teknologi utama.

Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank menambah empat sen kepada RM9.57, Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM13.80, CIMB meningkat satu sen kepada RM6.56, Public Bank susut tiga sen kepada RM4.28, manakala CelcomDigi dan Press Metal masing-masing kekal tidak berubah pada RM3.79 dan RM5.21.

Antara kaunter aktif NexG dan Enproserve masing-masing menambah 1.5 sen kepada 52 sen dan 28 sen. PRG meningkat setengah sen kepada 9.5 sen, Eco-Shop naik satu sen kepada RM1.32, manakala EA Holdings susut setengah sen kepada setengah sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 13.04 mata kepada 11,432.77, Indeks FBMT 100 meningkat 10.54 mata kepada 11,192.48, dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 7.64 mata kepada 11,454.99.

Indeks FBM 70 menokok 41.42 mata kepada 16,597.29, manakala Indeks FBM ACE susut 7.19 mata kepada 4,617.41.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 36.2 mata kepada 17,346.87, Indeks Tenaga turun 0.46 mata kepada 739.71, dan Indeks Perladangan menambah 12.40 mata kepada 7,408.55.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.11 mata kepada 154.15.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE