fb fb fb fb fb

Penghasilan tenaga kerja mahir, perlu dilaksana di luar amalan kebiasaan - Pakar

Penganalisis Hubungan Antarabangsa & Ekonomi, Dr. Zokhri Idris

KUALA LUMPUR, 28 April- Kesediaan Malaysia dalam membekalkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan memenuhi permintaan industri harus dilakukan di luar amalan kebiasaan.

Penganalisis Hubungan Antarabangsa & Ekonomi, Dr. Zokhri Idris berpendapat, tumpuan tidak hanya boleh diberi pada institut pendidikan tinggi (IPT) semata-mata tetapi juga merentasi agensi dan kementerian.

"Pertamanya, kita tidak harus meletakkan penyediaan tenaga kerja berasaskan revolusi 5.0 ini semata-mata atau lebih ditumpukan kepada institusi pendidikan tinggi (IPT)."

"Ini kerana IPT, lebih bercorakkan kepada akademik, kuliah dan juga aktiviti yang berkaitan pembelajaran dan pengajaran. Sedangkan kemahiran industri bergerak sangat laju dan lebih daripada apa yang sedang diajar di peringkat universiti," kata Dr. Zokhri kepada pemberita secara eksklusif kepada RTM berhubung kenyataan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.

Tambah beliau, selain daripada kesedaran pentadbiran berdasarkan tatakelola yang efisien dan baik serta tanggungjawab fiskal yang mampan, Malaysia juga perlu menumpukan profil hutang negara.

Dengan pengendalian kadar hutang negara yang lebih terkawal, ia memberi keyakinan pada para pelabur bagi pertumbuhan ekonomi negara yang lebih baik dan dapat menguruskan ekonomi infrastruktur secara makro dan mikro.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM