KUALA LUMPUR, 4 Januari- Kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika waktu bencana tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian waktu terdesak.
Menurut Penganalisis Korporat dan Perniagaan, Mohamad Faisal Abdul Malik, mandat yang diamanahkan kepada KWSP adalah bagi menjamin persaraan pekerja serta melindungi simpanan untuk masa tua.
"Pengeluaran ini secara tidak langsung akan memaksa KWSP melupuskan pelaburan dan ianya akan memberikan impak susulan kepada pasaran bon dan saham negara. RM270 billion yang boleh dikeluarkan oleh ahli yang berumur lebih 55 tahun dan pengeluaran ini juga akan menjejaskan kecairan, dan ini perlu diperhalusi oleh kerajaan dalam mengimbangi tuntutan ini kerana sudah pasti akan ada kesan jangka pendek terhadap keputusan ini, katanya dalam temu bual bersama RTM.
Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula berpendapat, masih terdapat langkah alternatif yang boleh dimanfaatkan kerajaan bagi membantu kumpulan terkesan tanpa perlu menggunakan dana persaraan.
"Bagaimana kita boleh mampu membantu mangsa banjir, mangsa pandemik adalah melalui bantuan bantuan daripada kerajaan yang sedia ada melalui pelbagai stimulus ataupun pakej rangsangan dan juga bajet 2022, katanya.
Sebelum ini, KWSP memaklumkan tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam.