fb fb fb fb fb

Pembaharuan fiskal kukuh keyakinan pelabur terhadap Malaysia

Pembaharuan fiskal yang dilaksanakan kerajaan telah membantu memperkukuhkan lagi keyakinan pelabur terhadap Malaysia / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 17 April - Pembaharuan fiskal yang dilaksanakan kerajaan telah membantu memperkukuhkan lagi keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Kementerian Kewangan (MoF) memkalumkan antara pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan termasuklah pengurangan defisit, subsidi bersasar serta Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang mengetuai delegasi Malaysia ke New York, Amerika Syarikat (AS) dari 14 hingga 16 April telah bertemu pelbagai pelabur antarabangsa, pengurus dana dan bank pelaburan untuk berkongsi pandangan tentang kedudukan ekonomi semasa Malaysia dan rancangan kerajaan.

“Semasa sesi dialog dengan pelabur pasaran kewangan dan modal, beliau (Amir Hamzah) telah berkongsi perkara penting Kerangka Ekonomi MADANI dan bagaimana kerangka ini akan mendorong Malaysia menjadi destinasi pelaburan yang berdaya saing di peringkat global,” kata MoF menerusi hantaran di laman rasmi media sosial ‘X’, hari ini.

Semasa sesi libat urus bersama para pelabur di New York beliau telah bertemu dengan kira-kira 50 pelabur global dalam pelbagai bidang industri dan perniagaan.

Sesi tersebut penting bagi memberi penjelasan mengenai perkembangan dasar utama kerajaan termasuk pembaharuan fiskal untuk memastikan kemampanan fiskal dan hutang negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN