KUALA LUMPUR, 10 Jun - Skop semakan dan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) secara langsung akan menyokong matlamat pengukuhan fiskal jangka sederhana Malaysia.
Rakan Kongsi Pengurusan Cukai Ernst and Young (EY) Malaysia, Farah Rosley berkata pendekatan itu bakal meningkatkan kutipan cukai tanpa memperkenalkan cukai baharu.
Langkah itu juga membolehkan peningkatan hasil secara berperingkat dengan memasukkan perkhidmatan tambahan dalam skop cukai perkhidmatan serta mengkaji semula kadar cukai jualan.
"Ini terutamanya kerana Malaysia mempunyai asas cukai yang agak sempit. Peluasan skop SST membolehkan kerajaan menjana hasil daripada sektor-sektor tertentu, terutamanya dalam ekonomi perkhidmatan yang semakin berkembang, sambil memastikan barangan asas dan perkhidmatan penting terus dilindungi daripada dikenakan cukai.
"Menerusi pelaksanaan dan penguatkuasaan yang berkesan, langkah-langkah ini boleh membantu menstabilkan kewangan awam, mengurangkan kebergantungan kepada hasil berkaitan minyak dan mewujudkan ruang fiskal untuk subsidi bersasar atau program kebajikan yang bertujuan meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat,'' jelasnya menerusi rakaman video.
Tambahnya, peluasan cukai perkhidmatan yang merangkumi lebih banyak sektor mencerminkan pendekatan progresif kerajaan dalam melindungi golongan rentan daripada beban kewangan yang tidak wajar.
Sementara itu katanya, semakan cukai jualan adalah selari dengan agenda pengukuhan fiskal yang lebih menyeluruh.
''Melalui kadar cukai jualan yang lebih tinggi ke atas barangan tidak penting atau premium, kerajaan dapat memastikan bahawa barangan keperluan harian kekal bebas cukai pada kadar sifar peratus, sekali gus meminimumkan impaknya terhadap isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana,” ujarnya.