KUALA LUMPUR, 16 Februari- Pasaran getah Malaysia mengakhiri minggu ini dengan prestasi tinggi pada Jumaat apabila sentimen global dipengaruhi oleh harapan terhadap pengurangan kadar faedah awal oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), kata peniaga.
Beliau berkata prestasi pasaran komoditi itu juga didorong oleh ringgit yang rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
“Walau bagaimanapun, kenaikan seterusnya telah dikekang oleh penurunan harga minyak mentah yang menjadi penanda aras selain ,m ketegangan geopolitik berterusan di Timur Tengah dalam keadaan dagangan lemah di pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan ketiadaan pembeli China,” katanya kepada Bernama.
Peniaga berkata jualan runcit AS susut 0.8 peratus pada Januari, dipengaruhi oleh penurunan yang dicatatkan pengedar kereta dan stesen perkhidmatan petrol.
Penyusutan jualan runcit yang tidak dijangka itu menimbulkan harapan untuk pengurangan kadar faedah awal oleh Fed, katanya.
Beliau juga berkata niaga hadapan getah Jepun turun sedikit pada Jumaat disebabkan kebimbangan berterusan mengenai data ekonomi yang lemah.
Namun, penurunan telah dihadkan oleh pasaran saham domestik yang lebih kukuh dan yen yang rendah.
Sementara itu, harga rujukan bagi getah fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) naik 3.0 sen kepada 728.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal turun 0.50 sen kepada 685.0 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan bagi getah fizikal LGM untuk GMM 20 adalah 731.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 687.0 sen sekilogram.- BERNAMA