fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup rendah seiring pasaran serantau

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 22 November- Pasaran getah Malaysia ditutup rendah seiring dengan petunjuk yang lemah dalam pasaran niaga hadapan getah serantau ditambah dengan penurunan dalam harga minyak mentah.

Seorang peniaga berkata penurunan selanjutnya dihadkan oleh ringgit yang lemah berbanding dolar AS berikutan pemain pasaran memberi reaksi terhadap sasaran ekonomi positif China bagi 2024. 

"Pemain pasaran juga dilihat sedang mencerna minit yang dikeluarkan oleh Rizab Persekutuan AS," katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, beliau berkata niaga hadapan getah Jepun lemah pada Rabu berikutan peniaga menilai kesan yen yang kukuh dan harga minyak mentah yang lemah.

Harga minyak sedikit susut pada Rabu selepas data Institut Petroleum Amerika (API) menunjukkan peningkatan ketara dalam inventori AS manakala peniaga terus menunggu pemotongan bekalan oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Data API menunjukkan pembinaan inventori AS empat minggu berturut-turut, menandakan bekalan minyak kekal kukuh manakala permintaan bekalan bahan api mula berkurangan ketika musim sejuk bermula.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) susut sembilan sen kepada 683.5 sen kilogram pada tengah hari manakala lateks pukal turun 1.5 sen pada  544.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 berada pada 680 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 544 sen sekilogram. - BERNAMA 

ZEHRA BINTI ZAMBRI