KUALA LUMPUR, 16 April - Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Selasa, dipengaruhi oleh aliran menurun dalam pasaran niaga hadapan getah serantau apabila ketegangan konflik di Asia Barat menjejaskan sentimen pasaran, kata peniaga.
Peniaga berkata niaga hadapan getah Jepun mengalami penurunan bagi sesi kelima pada Selasa berikutan data pengeluaran perindustrian dan jualan runcit pengguna utama iaitu China yang lebih lemah berbanding jangkaan menjejaskan sentimen pelabur walaupun harga minyak mentah lebih tinggi dan yen yang lebih rendah mengehadkan penurunan.
Beliau berkata walau bagaimanapun, penurunan selanjutnya telah dihadkan oleh data ekonomi yang kukuh dari China dan kenaikan harga minyak mentah penanda aras Amerika Syarikat (AS).
Selain itu, penyusutan ringgit berbanding dolar AS turut membantu mengurangkan penurunan selanjutnya.
“Harga minyak mentah meningkat pada Selasa dalam situasi ketegangan di Asia Barat selepas Israel menyatakan negaranya akan bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron Iran pada hujung minggu susulan gesaan sekatan oleh sekutu,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ekonomi China berkembang lebih baik daripada jangkaan pada suku pertama 2024, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 5.3 peratus tahun ke tahun apabila langkah rangsangan kerajaan yang berterusan membantu peningkatan aktiviti perniagaan, manakala cuti kebangsaan menggalakkan perbelanjaan pengguna. .
Jualan runcit AS melepasi jangkaan dengan peningkatan ketara 0.7 peratus pada Mac, didorong lonjakan penerimaan peruncit dalam talian.
Perkembangan itu menjadi bukti tambahan bahawa ekonomi mengakhiri suku pertama pada kedudukan yang kukuh dan stabil.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 turun 4.0 sen kepada 769.00 sen sekilogram manakala harga susu getah pukal kurang 3.0 sen kepada 739.50 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk getah fizikal GMM 20 berada pada 767.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal ialah 737.50 sen sekilogram.-BERNAMA