fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup bercampur-campur untuk hari ketiga

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Disember- Pasaran getah Malaysia mengakhiri dagangan Jumaat dengan bercampur-campur untuk hari ketiga berturut-turut berikutan sentimen yang juga bercampur-campur.

Harga Getah Mutu Malaysia GMM 20 meneruskan peningkatannya, disokong oleh pemulihan harga ketika sentimen didorong oleh keputusan ekonomi Amerika Syarikat (AS) kukuh yang dijadual diumumkan pada lewat hari ini.

Pada masa sama, harga lateks pukal meneruskan prestasi yang hambar, kata peniaga.

Namun, kenaikan itu dikekang oleh unjuran pasaran niaga hadapan getah yang bercampur-campur serta ringgit yang mengukuh berbanding dolar AS selain impak daripada data ekonomi serantau yang perlahan.

Peniaga itu berkata pasaran niaga hadapan Jepun juga susut pada hari ini selepas mata wang yen Jepun meneruskan aliran peningkatannya.

“Angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang disemak semula oleh Jemaah Menteri Jepun, susut 2.9 peratus pada Julai-September apabila sektor isi rumah terus berdepan cabaran yang ketara,” katanya.

Selain itu, harga minyak mentah hari ini meningkat daripada paras terendah hampir enam bulan susulan gesaan Arab Saudi dan Rusia meminta lebih ramai anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) untuk mengurangkan pengeluaran.

“Di AS, pertumbuhan pekerjaan dilaporkan meningkat pada November apabila ribuan pekerja automotif kembali bekerja selepas mogok, walaupun trend itu dilihat berkemungkinan menyebabkan pasaran tenaga kerja yang lebih tepu,” katanya.

Harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi GMM 20 naik 2.5 sen kepada 662.0 sen sekilogram manakala lateks pukal tidak berubah pada 537.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan bagi getah fizikal mencatat 667.0 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 538.0 sen sekilogram. -BERNAMA 

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI