fb fb fb fb fb

Skim galakan penggunaan motosikal elektrik, rebat RM2,400 bagi setiap pembelian

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (dua, kanan) ketika merasmikan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) di Stadium Nasional Bukit Jalil / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Disember - Rebat sebanyak RM2,400 bagi setiap pembelian motosikal elektrik, disediakan menerusi Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas), bermula hari ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata dengan slogan “Memacu Kelestarian”, inisiatif itu seiring dengan hasrat Kerajaan mencapai sasaran karbon sifar seawal tahun 2050.

"Saya hendak nasihatkan semua rakyat Malaysia yang berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah untuk mengambil peluang berdaftar dan memohon untuk subsidi tunai sebanyak RM2,400 yang disediakan oleh kerajaan.

"Ini selari dengan hasrat dan sasaran kerajaan untuk mencapai karbon sifar menjelang 2050 dan sebenarnya dari segi sasaran kita untuk penjualan kenderaan elektrik (EV) ini, sasaran kita berdasarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) ialah 20% daripada jualan EV ni perlu dicapai pada tahun 2030," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) bersempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, di sini.

Serentak dengan pelancaran MARiiCas, platform permohonan turut diaktifkan menerusi laman sesawang insentif.marii.my.

Pemohon boleh mengakses maklumat berkaitan model-model motosikal elektrik yang ditawarkan serta menyemak kelulusan permohonan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN