fb fb fb fb fb

Malaysia komited tarik pelaburan bernilai tinggi China

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 19 November - Malaysia komited untuk terus menarik kemasukan pelaburan bernilai tinggi dari China termasuk dalam bidang penjagaan kesihatan, aeroangkasa dan tenaga baharu, seiring Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Malaysia-China, Datuk Tan Tian Meng berkata kerjasama dengan negara tembok besar itu akan mengukuhkan lagi kedudukan negara dalam rantaian bekalan global dan mempercepat pemindahan teknologi ke Malaysia.

“China sejak sekian lama merupakan antara peneraju dalam bidang inovasi, teknologi dan penyelidikan. Mereka mempunyai teknologi yang maju, kepakaran yang tinggi, modal insan yang mahir serta sumber dan bahan yang berkualiti.

"Oleh itu, kita berharap pelaburan dari China ke Malaysia akan membawa kesan positif yang besar kepada ekonomi negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Persidangan Padanan Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan China (Yulin) -Malaysia, di sini.

Tambahnya, kerjasama antara kedua-dua negara turut membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk menembusi pasaran luar seperti ASEAN dan Asia Barat, selain membangunkan industri berteknologi tinggi dan bernilai tambah.

Justeru, beliau menggesa komuniti perniagaan terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan untuk memanfaatkan peluang sedia ada dan kepakaran China bagi meningkatkan daya saing.

''Malaysia dan China juga perlu mencari titik keserasian yang mampu menjana nilai tambah bagi memperkukuh industri, pembangunan bakat dan masa depan bersama,'' katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM