fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup bercampur-campur

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 5 Mac- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur pada Selasa, dipengaruhi oleh penurunan harga minyak mentah dan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, kata seorang peniaga.

Beliau juga berkata, pertumbuhan perlahan data ekonomi utama China turut memberi kesan kepada sentimen pasaran.

“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dihadkan oleh keyakinan baharu terhadap lebih banyak langkah rangsangan daripada China bagi mencapai sasaran pertumbuhan 2024 dan peniaga menjangkakan lebih banyak petunjuk mengenai penurunan kadar faedah Amerika Syarikat,” katanya.

Peniaga itu juga berkata harga minyak mentah turun bagi hari kedua berturut-turut pada Selasa apabila jaminan pembaharuan ekonomi oleh China di tengah-tengah pertumbuhan yang kurang memberangsangkan sejak pandemik COVID-19, gagal meyakinkan pelabur yang bimbang terhadap penggunaan rendah.

“China menyasarkan pertumbuhan ekonomi kira-kira lima peratus tahun ini menerusi pembaharuan model pembangunannya, mengekang lebihan kapasiti industri, meredakan risiko sektor hartanah dan mengurangkan ketirisan serta pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan tempatan dengan sasaran perbelanjaan fiskal yang lebih rendah,” katanya.

Sementara itu, harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) turun empat sen kepada 749.5 sen sekilogram manakala lateks pukal meningkat 1.5 sen kepada 716.5 sen sekilogram.

Pada pukul 5.00 petang, harga rujukan LGM bagi getah fizikal SMR 20 berada pada 748.5 sen sekilogram manakala lateks pukal berada pada 718.5 sen sekilogram. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA