fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup bercampur-campur

Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur pada Jumaat dalam persekitaran pasaran niaga hadapan serantau yang meningkat dan prestasi harga minyak mentah yang juga bercampur-campur / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 1 Mac - Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur pada Jumaat dalam persekitaran pasaran niaga hadapan serantau yang meningkat dan prestasi harga minyak mentah yang juga bercampur-campur, kata peniaga.

Beliau berkata pasaran hadapan getah Jepun meningkat hari ini berikutan kelemahan yen dan data pengilangan tempatan yang rendah.

Sentimen pasaran dijejaskan lagi oleh data ekonomi China serta pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Bagaimanapun, kerugian seterusnya dikekang oleh kebimbangan ketara mengenai simpanan getah asli global dan kemungkinan bank pusat AS mula mengurangkan kadar faaedah pada Jun ini apabila inflasi turun secara beransur-ansur,” katanya kepada Bernama.

Analisis Biro Ekonomi Jabatan Perdagangan AS dilaporkan berkata indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi negara maju itu meningkat 0.3 peratus bagi asas bulanan pada Januari lepas.

Inflasi AS sebaliknya mencatat angka terendah dalam masa tiga tahun, sekali gus mengekalkan jangkaan negara itu akan menurunkan kadar faedahnya pada pertengahan tahun ini.

Sementara itu, harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia (SMR 20) susut sebanyak 3.5 sen kepada 755.0 sen sekilogram namun susu getah pukal naik 1.0 sen kepada 711.00 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan bagi getah fizikal SMR 20 pada 758.0 sen sekilogram dan susu getah pukal pada 712.00 sen sekilogram.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN