KUALA LUMPUR, 23 Mac- Pasaran getah dijangka didagangkan dalam jajaran kecil dengan nada mendatar minggu depan berikutan ketidaktentuan pasaran di tengah-tengah kebimbangan berterusan terhadap pengeluaran getah asli, kata seorang peniaga.
Bekas Presiden Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low berkata pasaran juga menjangkakan dagangan lengang pada minggu tersebut berikutan hari transaksi yang lebih pendek disebabkan cuti Good Friday dan Easter Monday.
“Kami menjangkakan minggu yang perlahan untuk pasaran getah memandangkan minggu dagangan yang lebih pendek serta ekonomi global yang masih lesu yang boleh menjejaskan penawaran dan permintaan.
“Dengan kekurangan bekalan dan permintaan, pasaran getah telah menstabil, aktiviti perdagangan juga terhad kepada satu tahap tertentu,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, menurut peniaga lain, harga pasaran getah akan terus menjejaki prestasi pasaran niaga hadapan serantau selepas pengendali pasaran terus memantau perkembangan ekonomi global termasuk ketegangan geopolitik yang masih berterusan.
Untuk minggu yang baru berakhir, pasaran getah diniagakan bercampur-campur, dipengaruhi oleh aktiviti pengambilan untung dan pembetulan teknikal walaupun terdapat kebimbangan mengenai kekurangan bekalan berikutan ramalan cuaca yang agak buruk.
Secara mingguan, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 meningkat 10.5 sen kepada 783.5 sen sekilogram pada Jumaat berbanding 773 sen yang dicatatkan semasa minggu sebelumnya, manakala lateks pukal naik 17 sen kepada 760.5 sen sekilogram daripada 743.5 sen.
Pada 5 petang Jumaat, harga rujukan LGM untuk getah fizikal SMR 20 berada pada 776 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 762.5 sen sekilogram.- BERNAMA