fb fb fb fb fb

Modal Teroka: RM250 juta dorong syarikat sederhana berkembang maju - Penganalisis

Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Mac - Peruntukan RM250 juta oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendorong syarikat sederhana yang berpotensi tinggi berkembang maju, kata Penganalisa Korporat dan Perniagaan, Mohamad Faisal Abdul Malik.

Faisal berkata, langkah itu menandakan keyakinan terhadap potensi syarikat pertengahan, berbanding hanya tertumpu kepada syarikat tersenarai dan berwajaran tinggi.

Sebaliknya, syarikat pertengahan memerlukan pelbagai sokongan termasuk dana, akses pasaran dan kerjasama daripada pemodal berwibawa.

"Saya melihat dalam konteks strategik bukan hanya dari sudut kemampanan strategi memberi modal kewangan semata-mata, tapi sokongan moral dan reputasi syarikat yang mendapat kepercayaan daripada KWSP.

"Ini merupakan satu pengiktirafan dan persepsi positif kepada ekosistem syarikat itu sendiri sebagai contoh seperti bank, vendor, pelabur, akses eksport," katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau turut berharap agar langkah ini sebagai permulaan kepada lebih banyak usaha membantu syarikat pertengahan pada masa akan datang, seterusnya disokong tadbir urus yang baik.

Baru-baru ini, KWSP mengumumkan usaha sama dengan firma modal teroka, Gobi Partners menerusi peruntukan RM250 juta bagi bagi memangkin pertumbuhan syarikat peringkat pertengahan (mid-to-growth companies) di Malaysia.

GRACE AISYAH KEDAYAN