fb fb fb fb fb

Pasaran getah dijangka diniagakan tinggi

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 13 Januari- Pasaran getah diunjurkan diniagakan lebih tinggi minggu depan berikutan jangkaan bahawa permintaan dan harga lebih kukuh di sebalik hasil yang rendah susulan faktor cuaca.

Bekas Presiden Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia Denis Low berkata musim monsun yang berpanjangan akan terus mengurangkan aktiviti menoreh getah.

"Pembelian saham ketika ini mungkin menyebabkan turun naik harga memandangkan kekurangan bekalan disebabkan monsun," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pertumbuhan kukuh dalam pengeluaran dan jualan kereta China akan meningkatkan permintaan bagi getah asli memandangkan negara itu merupakan antara pengimport terbesar getah asli.

Menurut data daripada Persatuan Pengilang Automobil China (CAAM) pada Khamis, pengeluaran kereta China melebihi 30.16 juta unit pada 2023, meningkat 11.6 peratus berbanding paras 2022 manakala jualan kereta melonjak 12 peratus tahun ke tahun.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah tempatan diniagakan bercampur-campur, dipengaruhi oleh prestasi niaga hadapan getah serantau dan turun naik harga minyak mentah.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan bagi getah fizikal oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysisa (GMM) 20 turun 2.5 sen untuk menutup minggu ini pada 704.0 sen sekilogram daripada 706.5 sen sebelumnya, manakala susu getah pukal menambah 15.0 sen untuk menutup dagangan pada 568.5 sen sekilogram daripada 553.5 sen.

Pada 5 petang Jumaat, harga rujukan bagi getah fizikal oleh LGM untuk GMM 20 adalah 703.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 570.0 sen sekilogram.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE