fb fb fb fb fb

Operasi dua syarikat penerbangan baharu di LTAPP bukti pelancongan negara pulih

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 28 November - Pertambahan dua syarikat penerbangan global yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) menandakan pemulihan berterusan dalam aktiviti pelancongan di rantau ini.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan Qatar Airways menyambung semula laluan Doha-Phuket-Pulau Pinang Oktober lalu.

Manakala Thai Airways International memulakan kemunculan sulungnya dengan perkhidmatan harian ke Bangkok.

“Memandangkan tahun semakin hampir berakhir, prestasi operasi kumpulan dari segi pergerakan trafik udara pada Oktober 2023 menandakan satu lagi trajektori yang menjanjikan untuk pemulihan berterusan industri penerbangan,” kata MAHB menerusi kenyataan.

Menurut pengendali lapangan terbang itu, operasi domestik merekodkan 6.8 juta pergerakan penumpang, daripada 10.2 juta dicatatkan kumpulan pada Oktober 2023.

Bakinya, disumbangkan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen di Türkiye, yang mengendalikan 3.3 juta pergerakan penumpang.

Setakat tahun ini, kumpulan mencatatkan 98.9 juta pergerakan penumpang bersamaan 84.7 peratus daripada tahap sebelum pandemik COVID-19.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN