fb fb fb fb fb

Normalisasi OPR, beri ruang BNM bertindak balas ketidaktentuan ekonomi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Februari- Normalisasi Kadar Dasar Semalaman (OPR) sejak 2022 memberi ruang kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bertindak balas terhadap ketidaktentuan masa hadapan.

Jelas Ketua Pakar Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, keadaan monetari semasa menyaksikan kadar faedah sebenar berlegar pada 1.5 peratus pada Disember 2023, berbanding purata jangka masa panjang 0.6 peratus.

Beliau tidak menolak kemungkinan BNM mengurangkan OPR, sekiranya momentum pertumbuhan tidak stabil seperti kadar kelulusan pembiayaan bank yang turun kepada 49.9 peratus pada Disember 2023.

Dalam pada itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku keempat 2023 adalah pada 3.0 peratus, iaitu di bawah jangkaan awal pada 3.4 peratus.

Tambahnya, walaupun pasaran buruh terus bertambah baik, yang membolehkan isi rumah berbelanja, namun pelbagai isu berkaitan kos sara hidup lebih tinggi menyebabkan pengguna berhati-hati dalam perbelanjaan.

Indeks Sentimen Pengguna (CSI) yang bergerak di bawah 100 mata untuk empat suku berturut-turut juga menandakan pengguna kebanyakannya pesimis mengenai keadaan ekonomi semasa.

Sebagai negara ekonomi terbuka, Malaysia terdedah kepada sebarang pergeseran melibatkan permintaan luar yang akan memberi kesan kepada eksport dan sektor pembuatan negara.

Justeru permintaan domestik akan menjadi sokongan utama yang akan merangsang pertumbuhan keseluruhan ekonomi Malaysia untuk kekal stabil dan berdaya tahan pada 2024.

ROSLINA BINTI DIN