KUALA LUMPUR, 25 November - Permodalan Nasional Berhad (PNB) bakal melaksanakan kaedah penilaian dan bayaran zakat secara automatik ke atas dana harga tetap di bawah Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) bermula pertengahan 2026, menggunakan kaedah al-Mustaghallat secara khultah.
Kaedah Al-Mustaghallat adalah kaedah pengiraan zakat ke atas hasil atau pendapatan daripada aset yang diperolehi, bukan ke atas aset itu sendiri.
Menurut Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rick Ramli, kaedah itu ditawarkan secara sukarela kepada pemegang unit beragama Islam untuk mendapatkan pengagihan pendapatan bersih selepas zakat melalui pendekatan khultah atau kolektif.
"Agihan zakat akan dibuat mengikut alamat berdaftar pemegang unit. Contohnya, jika pemegang unit Selangor mempunyai sejumlah baki pelaburan pencaruman, peratusan zakat mengikut kaedah al-mustaghlat akan disalurkan kepada Pusat Zakat Selangor." katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Taklimat Kaedah Zakat Al-Mustaghallat bagi Dana Harga Tetap ASNB di sini hari ini.
Tambah beliau,PNB menyasarkan penglibatan lebih 30 peratus pemegang unit agama Islam bagi tahun pertama perlaksanaan kaedah itu dengan anggaran kutipan zakat mencecah RM60 juta.
"Sebanyak 2.57 peratus daripada dividen bagi Dana Harga Tetap ASNB iaitu ASB, ASB 2, ASB 3 Didik, ASM, ASM 2 Wawasan dan ASM 3 akan ditolak dan disalurkan kepada Pusat Zakat Negeri untuk diagihkan kepada asnaf mengikut ketetapan pihak berkuasa zakat" katanya lagi.
Jelas beliau, pembayaran secara khultah itu juga juga lebih efisen dan sistematik kerana pemegang unit tidak perlu mengira dan membayar zakat secara individu.
Mengulas lanjut, beliau berkata kaedah berkenaan telah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan, Pahang, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.
Rundingan bersama negeri-negeri lain sedang berjalan dan dijangka dapat dimuktamadkan sebelum pelancaran kaedah tersebut tahun depan.
Sebelum ini, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bersama beberapa Jawatankuasa Fatwa Negeri telah memberikan persetujuan penilaian zakat bagi Dana Harga Tetap yang diuruskan oleh ASNB dan PNB dibolehkan menggunakan kaedah al-Mustaghallat.