KUALA LUMPUR, 25 November - Maybank mengaktifkan Program Bantuan Banjir bagi membantu pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.
Maybank menerusi kenyataan berkata, program bantuan itu bertujuan meringankan beban kewangan pelanggan yang berdepan kerosakan harta benda dan gangguan pendapatan akibat bencana itu.
''Bantuan Banjir ini merangkumi beberapa bentuk kelonggaran, termasuk penangguhan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan, pengurangan ansuran bulanan, atau lanjutan tempoh pembayaran bergantung kepada keperluan pelanggan.
''Bank juga menawarkan pengecualian caj untuk penggantian kad debit, kad ATM dan buku cek yang hilang atau rosak dalam kejadian banjir,'' menurut kenyataan itu.
Permohonan boleh dibuat melalui e-mel ke
Sementara itu, cabang insurans kumpulan tersebut, Etiqa, melaksanakan proses tuntutan banjir yang dipermudahkan tanpa memerlukan borang atau dokumen sokongan.
Maklumat lanjut berhubung program tersebut boleh diakses di laman web rasmi bank, manakala pelanggan yang memerlukan sokongan tambahan boleh menghubungi Maybank Group Customer Care Hotline di 1-300-88-6688.
Dalam pada itu, Kumpulan Perbankan RHB turut menawarkan bantuan kewangan jangka pendek kepada individu dan PKS untuk meringankan cabaran kewangan dalam tempoh sukar ini melalui Program Bantuan Banjir.
RHB melalui kenyataan berkata, program itu menyediakan bantuan kewangan jangka pendek bagi meringankan beban pelanggan yang berdepan kerosakan harta benda, gangguan pendapatan dan kos pemulihan akibat bencana tersebut.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata bantuan ini mencerminkan komitmen bank dalam menyokong pelanggan yang terjejas.
“Keutamaan kami adalah untuk membantu keluarga, perniagaan dan komuniti yang terkesan akibat banjir. Selain bantuan kewangan, RHB juga akan menghulurkan bantuan pemulihan termasuk pengagihan pek makanan siap dimakan untuk keluarga yang dipindahkan, serta kit pasca banjir bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan pemulihan rumah,” katanya.
Pelanggan individu yang memerlukan bantuan boleh menghubungi RHB Customer Contact Centre di 03-9206 8118 atau mengunjungi mana-mana cawangan RHB terdekat.
Pelanggan PKS pula digalakkan berhubung dengan pengurus hubungan masing-masing untuk sokongan yang lebih terperinci.