fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM ditutup tinggi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 7 Jun- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini sejajar dengan harga minyak soya dan minyak mentah yang kukuh, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata jangkaan laporan keseluruhan peningkatan tanaman yang akan dikeluarkan minggu depan juga mengekalkan sentimen yang tinggi.

"Kami mengesan paras sokongan (MSM) pada RM3,900 satu tan dan paras rintangan pada RM4,050 satu tan," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) hari ini melaporkan bahawa pengeluaran MSM dari 1 hingga 31 Mei, 2024, berbanding 1 hingga 30 April, 2024, naik 14.85 peratus di Semenanjung Malaysia, 1.30 peratus di Sabah, 19.75 peratus di Sarawak dan tujuh peratus di Malaysia Timur, menghasilkan peningkatan keseluruhan sebanyak 11.83 peratus untuk pengeluaran MSM Malaysia.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Jun 2024 meningkat RM18 kepada RM3,953 satu tan, Julai 2024 menambah RM19 kepada RM3,975 satu tan, dan Ogos 2024 meningkat RM15 kepada RM3,975 satu tan.

Sementara itu, September 2024 menokok RM14 kepada RM3,974 satu tan, Oktober 2024 naik RM11 kepada RM3,972 satu tan, dan November 2024 meningkat RM8 kepada RM3,977 satu tan.

Jumlah dagangan menokok kepada 63,128 lot daripada 54,591 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka susut kepada 214,980 kontrak daripada 215,636 kontrak sebelum itu.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan kekal tidak berubah pada RM4,000 satu tan.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN