KUALA LUMPUR, 8 Jun- Pasaran getah dijangka didagangkan dalam jajaran pendek dengan kecenderungan positif minggu depan, kata seorang pakar.
Pakar industri Denis Low berkata ketidaktentuan kadar pertukaran akan memberi kesan ketara ke atas harga getah.
“Ia juga menyebabkan ketidaktentuan, memandangkan kadar pertukaran semasa cenderung dipengaruhi oleh geopolitik berbanding ekonomi sebenar,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga menjelaskan harga akan terus menjejaki prestasi pasaran hadapan getah serantau, kekuatan ringgit berbanding dolar US dan penanda aras harga minyak mentah di tengah-tengah kebimbangan semasa mengenai bekalan bahan mentah yang ketat di negara pengeluar utama berikutan keadaan cuaca yang melampau.
Beliau berkata peniaga akan menunggu petunjuk ekonomi dari Amerika Syarikat (AS) bagi hala tuju lanjut mengenai tempoh pemotongan kadar faedah AS di tengah-tengah harapan untuk lebih banyak pelancaran langkah-langkah rangsangan Cina.
Peniaga juga akan memberi tumpuan kepada konflik geopolitik yang sedang berlaku di Timur Tengah.
Semalam, pasaran getah tempatan ditutup pada paras tertinggi tahun ini, dengan harga SMR 20 melonjak ke paras tertinggi baharu untuk 2024.
Dari Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 meningkat 23.5 sen kepada 856 sen sekilogram daripada 832.5 sen sekilogram minggu lepas, manakala lateks pukal naik 11.5 sen kepada 794.5 sen sekilogram daripada 783 sen sebelumnya.
Pada 5 petang Jumaat, harga rujukan LGM bagi fizikal SMR 20 berada pada 857.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 798 sen sekilogram.
- BERNAMA