fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM ditutup rendah

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 27 Mei - Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini apabila jangkaan peningkatan pengeluaran pada minggu-minggu akan datang telah memberi tekanan terhadap harga, kata peniaga minyak sawit David Ng.

“Kami melihat harga disokong dengan baik di atas paras RM3,800 setan metrik dengan paras rintangan dilihat pada RM3,950 setan metrik,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata pengeluaran kukuh minyak sawit bagi bulan kedua berturut-turut dan peningkatan eksport akan mempengaruhi harga MSM.

“Menurut Intertek Testing Services (ITS), eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1-25 Mei berbanding 1-25 April meningkat sebanyak 2.41 peratus kepada 1.13 juta tan metrik daripada 1.10 juta tan metrik.

“Sementara itu, AmSpec mengunjurkan eksport minyak sawit meningkat sebanyak 3.12 peratus kepada 1.07 juta tan metrik daripada anggaran eksport minyak sawit mereka bagi tempoh 1-25 April,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Jun 2024 turun sebanyak RM7 kepada RM3,865 setan metrik, manakala Julai 2024 susut RM12 kepada RM3,867 dan Ogos 2024 berkurangan RM15 kepada RM3,870 setan metrik.

Kontrak September 2024 susut RM15 kepada RM3,878 setan metrik manakala Oktober 2024 jatuh RM19 kepada RM3,884 setan metrik dan November 2024 berkurangan RM21 kepada RM3,897 setan metrik.

Jumlah dagangan turun kepada 44,726 lot daripada paras 58,543 pada Jumaat minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 203,499 kontrak daripada 202,898 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan rendah turun RM20 kepada RM3,900 setan metrik.- BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI