fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM ditutup rendah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 10 Mei- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Jumaat susulan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan peningkatan inventori dan output, ia menambah tekanan kepada harga hari ini, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga rendah itu juga disumbangkan oleh kelemahan dalam pasaran niaga hadapan minyak kacang soya Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).

“Kami mengesan paras sokongan pada RM3,750 satu tan metrik dan paras rintangan pada RM6,800 setan metrik,” katanya kepada Bernama.

Stok minyak sawit Malaysia pada akhir April meningkat 1.85 peratus daripada bulan sebelumnya kepada 1.74 juta tan metrik, kenaikan bulan ke bulan pertama dalam enam bulan, menurut data MPOB pada Jumaat.

Pengeluaran minyak sawit mentah meningkat 7.86 peratus dari Mac kepada 1.50 juta tan metrik, manakala eksport minyak sawit merosot 6.97 peratus kepada 1.23 juta tan metrik.

Pada penutup dagangan, kontrak hadapan MSM Mei 2024 jatuh RM70 kepada RM3,853 satu tan metrik, Jun 2024 berkurangan RM17 kepada RM3,843 setan metrik dan Julai 2024 menguncup RM22 kepada RM3,809 satu tan metrik.

Bulan Ogos 2024 merosot RM26 kepada RM3,801 satu tan metrik, September 2024 turun RM23 kepada RM3,804 setan metrik manakala Oktober 2024 berkurangan RM24 kepada RM3,809 satu tan metrik.

Jumlah dagangan turun kepada 68,017 lot daripada 48,976 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka turun kepada 220,693 kontrak daripada 220,917 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan merosot RM20 kepada RM3,910 satu tan metrik.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN