fb fb fb fb fb

Kedudukan fiskal dan perindustrian baharu antara fokus dalam RMKe-13

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli

PUTRAJAYA, 10 Mei- Isu peralihan tenaga, kedudukan fiskal dan perindustrian baharu akan terus menjadi fokus dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata perkara itu telah mula dilaksana sejak Kajian Separuh Penggal RMKe-12 dan ia akan diteruskan.

Selain itu, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan juga akan diberi perhatian demi kesejahteraan rakyat.

"Insya-Allah, kita akan berjaya bawa RMKe-13 untuk bagi wawasan yang lebih baik kepada negara, mengambil kira hasil-hasil awalan sebenarnya daripada tugas-tugas yang telah dibuat," kata Rafizi dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi, hari ini.

Sementara itu, ekonomi Malaysia dijangka lebih baik berbanding anggaran awal pada suku pertama 2024.

Rafizi berkata jangkaan itu berdasarkan data-data awal yang positif.

"Kita sekarang berada di dalam suasana pasaran modal bursa. Contohnya berada dalam pasaran paling baik dalam sejarah. Bursa mencecah dua trilion dipacu syarikat pertengahan. Ini memberi gambaran bahawa minat kepada naratif ekonomi semakin baik," tambah Rafizi.

Tambahnya, kitaran ekonomi dunia yang memberi limpahan yang lebih baik kepada Malaysia dijangka memuncak pada suku ketiga atau keempat, tahun ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM