KUALA LUMPUR, 10 Mei- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 2.4 peratus tahun ke tahun pada Mac 2024, didorong oleh pengembangan dalam kesemua sektor.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi kenyataan memberitahu IPP kekal positif walaupun pada kadar yang lebih perlahan iaitu sebanyak 2.4 peratus pada Mac 2024 berbanding 3.1 peratus pada bulan sebelumnya.
Peningkatan tersebut diterajui pengembangan dalam sektor pembuatan.
Pada bulan sama juga, industri berorientasikan eksport memulih dan peningkatan tersebut terutamanya disokong antaranya pembuatan komputer, produk elektronik, optikal dan produk petroleum bertapis.
Industri berorientasikan domestik pula meningkat sederhana dan dipacu pembuatan produk logam yang direka.
Sementara itu, IPP di beberapa negara lain seperti China dan Korea Selatan meningkat sederhana manakala Vietnam dan Taiwan kembali kepada jajaran positif pada Mac 2024.
Namun sebaliknya, Singapura mengalami kemerosotan manakala Amerika Syarikat, Jepun dan Thailand terus mengalami penurunan.