KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengambil petunjuk daripada pasaran emas COMEX Amerika Syarikat (AS) minggu depan menjelang pengumuman data Indeks Harga Pengguna (CPI) AS Julai pada Selasa depan.
Pengumuman data inflasi tersebut dijangka akan menghangatkan lagi perdebatan dalam kalangan ahli Rizab Persekutuan (Fed) mengenai hala tuju kadar faedah pada mesyuarat September ini.
Dalam nota penyelidikannya, RHB Investment Bank Bhd menjangkakan niaga hadapan emas akan terus berada dalam aliran meningkat minggu hadapan, dengan penganalisis megunjurkan kemungkinan harga menembusi paras rintangan US$3,450 setiap auns troy, berpotensi mendorong harga ke paras US$3,500 setiap auns troy.
“Dalam senario pasaran menaik, paras rintangan kebiasaannya lebih mudah ditembusi. Kami menjangkakan paras sokongan segera akan muncul pada sekitar US$3,350 setiap auns troy,” kata firma penyelidikan itu.
Sehubungan dengan itu, firma itu menasihatkan para pelabur agar terus memegang emas yang dibeli pada harga US$3,402.40 setiap auns troy kerana dijangka harga akan terus meningkat.
“Bagi menguruskan risiko penurunan harga, paras henti rugi (stop-loss) ditetapkan pada US$3,150 setiap auns troy,” katanya.
Bagi asas mingguan, kontrak bulan semasa Ogos 2025 meningkat kepada US$3,415.80 setiap auns troy pada Jumaat berbanding US$3,310.40 seminggu lepas, kontrak September 2025 naik kepada US$3,421.50 setiap auns troy daripada US$3,316.30 sebelumnya.
Sementara itu, Oktober 2025 mengukuh kepada US$3,451.50 setiap auns troy daripada US$3,345.40 dan November 2025 menokok kepada US$3,468.90 setiap auns troy daripada US$3,362.80.
Kontrak Disember 2025, Februari 2026 dan April 2026 semuanya meningkat kepada US$3,488.40 setiap auns troy daripada US$3,380.20 sebelum itu.
Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 107 lot berbanding 129 lot minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 52 kontrak daripada 29 kontrak sebelumnya.
Harga emas fizikal pula berada pada US$3,383.75 setiap auns troy berdasarkan harga penetapan oleh London Bullion Market Association (LBMA) pada 7 Ogos. -BERNAMA