KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Pasaran getah Malaysia dijangka mengalami ketidaktentuan minggu hadapan apabila tarif baharu Amerika Syarikat (AS) mula berkuat kuasa, menurut Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).
MARGMA yakin tarif yang baru dikenakan itu boleh menjadi petunjuk kelembapan ekonomi AS kerana ia dijangka meningkatkan kos bahan mentah import.
Bagaimanapun, MARGMA berkata lonjakan 7.2 peratus dalam eksport China pada Julai serta pertumbuhan dalam sektor perkhidmatannya yang didorong oleh permintaan kukuh dan pesanan eksport baharu, mungkin menyokong harga yang lebih tinggi.
“Faktor ini, selain hujan lebat yang dijangka berlaku di negara pengeluar getah utama seperti Thailand, boleh memberi tekanan kepada harga,” kata jurucakap MARGMA kepada Bernama.
Sementara itu, pakar industri Denis Low berkata pasaran dijangka diniagakan tidak berubah minggu hadapan, dengan aktiviti lebih tertumpu kepada pengisian semula stok, yang mungkin mengehadkan peningkatan dalam permintaan dan harga.
“Pembekalan dan permintaan kekal berhati-hati, dan buat masa ini, pasaran bertindak balas terhadap sentimen keperluan dan penambahan, dan bukannya persekitaran spekulatif yang menjadi ciri dagangan komoditi.
"Atas sebab ini, momentum akan dipengaruhi oleh tarif dan keadaan cuaca," katanya.
Bagi asas mingguan, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat sebanyak 11 sen kepada 726.00 sen sekilogram manakala susu getah pukal menokok dua sen kepada 569.00 sen sekilogram. -BERNAMA