fb fb fb fb fb

Miti fokus perkasa sektor pelaburan- Tengku Zafrul

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 7 Januari- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) terus komited dalam memudahcara urusan pelabur domestik dan antarabangsa

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia dilihat terus menjadi destinasi pilihan pelabur dan ia dibuktikan menerusi pelaburan yang berjaya direkodkan negara.

Beliau berkata sembilan bulan pertama 2023 (Januari hingga September), Malaysia merekodkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM225 bilion.

"Salah satu cabaran sepanjang 2024 untuk MITI adalah dari segi pelaburan dan kami akan mempercepatkan proses pelaburan dengan memudahcarakan semua urusan berkaitannya. Kita hendak mempercepatkan kelulusan serta mempermudahkan pelaburan dan kita perlu akui banyak lagi yang perlu ditambah baik," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai unjuran perdagangan tahun ini, Tengku Zafrul berkata, MITI akan meneruskan misi perdagangan dan pelaburan bagi menarik lebih banyak pelaburan strategik walaupun berdepan cabaran ekonomi dan geopolitik global.

Katanya pada 2024 ekonomi global diakui bakal mencabar dan banyak isu geopolitik yang masih belum selesai di mana setiap negara mempunyai cabaran masing-masing termasuk Malaysia.

"Oleh itu, dari segi perdagangan, MITI melihat ramai usahawan tempatan yang berjaya di Malaysia tetapi kita masih perlu beri bantuan untuk mereka ini turut berjaya di luar negara.

"Saya akui ia bukan mudah kerana persaingan sengit dan pada masa sama usahawan tidak hanya berdepan dengan cabaran dari segi kewangan, malah pemasaran dan kapasiti bangunan," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan ke Moodafest 2024 di sini, hari ini.

Penganjuran karnival tersebut menghimpunkan pelbagai pilihan gerai jualan daripada vendor terkemuka dengan bertemakan Nostalgia Zaman Sekolah.

ZEHRA BINTI ZAMBRI