fb fb fb fb fb

Malaysia kekal lebihan CAB pada suku kedua tahun ini

Foto - Eksport barangan cecah RM281.6 bilion

KUALA LUMPUR, 15 OGOS - Malaysia mengekalkan lebihan Imbangan Akaun Semasa (CAB) dengan mencatatkan RM264.9 juta pada suku kedua tahun ini, didorong pengukuhan dalam perdagangan perkhidmatan serta defisit lebih rendah dalam akaun pendapatan primer.

Eksport barangan berjumlah RM281.6 bilion, manakala import bernilai RM264.6 bilion, menjadikan eksport bersih berjumlah RM17.0 bilion, seterusnya menyumbang kepada lebihan CAB pada suku dikaji.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, akaun perkhidmatan mencatatkan defisit sebanyak RM3.3 bilion, menunjukkan sedikit penurunan berbanding RM3.4 bilion pada suku sebelumnya.

''Prestasi lebih baik ini didorong penerimaan lebih tinggi dalam perjalanan serta pembayaran yang lebih rendah bagi perkhidmatan perniagaan lain dan perkhidmatan pembuatan.

''Akaun Pendapatan Primer pula mencatatkan defisit yang lebih rendah sebanyak RM8.9 bilion berbanding RM17.1 bilion pada suku sebelumnya,'' jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Peningkatan ini disokong oleh pendapatan lebih tinggi yang dijana di luar negeri, dengan jumlah penerimaan mencecah RM24.4 bilion, terutamanya daripada Pelaburan Portfolio dan Pelaburan Langsung.

Akaun Pendapatan Sekunder pula merekodkan defisit sebanyak RM4.6 bilion berbanding RM1.2 bilion pada suku sebelumnya, dipengaruhi oleh penerimaan yang lebih rendah ke dalam negara.

Akaun Kewangan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM2.2 bilion, lebih rendah berbanding RM20.3 bilion pada suku sebelumnya.

Sementara itu, Pelaburan Langsung Asing (FDI) mencatatkan aliran masuk bersih RM1.6 bilion pada suku kedua 2025 berbanding RM15.6 bilion suku sebelumnya. Ini disokong oleh suntikan ekuiti berterusan dan aliran masuk dalam instrumen hutang, sebahagiannya diimbangi penghantaran pulang pendapatan yang lebih tinggi kepada syarikat induk di luar negeri.

Sementara itu, Pelaburan Langsung di Luar Negara (DIA) merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM600 juta daripada aliran keluar bersih RM3.5 bilion pada suku sebelumnya.

Aliran masuk ini terutamanya disebabkan oleh pencairan ekuiti dan instrumen hutang, terutamanya dalam sektor Pembuatan dan Perkhidmatan, dengan sebahagian besarnya tertumpu kepada subsektor Maklumat & komunikasi.

Sehingga akhir suku kedua 2025, kedudukan Pelaburan Antarabangsa (IIP) Malaysia mencatatkan aset bersih yang lebih tinggi berjumlah RM63.1 bilion.##

AHMAD ASHRAF BIN AB RAHMAN