KUALA LUMPUR, 15 Ogos - Langkah sementara bagi menangani kenaikan mendadak premium produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT), kekal berkesan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, inisiatif di bawah kerangka Reshaping and Enhancing Healthcare Services and Takaful (RESET), turut mengukuhkan perkhidmatan penjagaan kesihatan, sekali gus membantu membendung inflasi premium insurans perubatan.
“Sebagai contoh, kita sedang merombak semula MHIT dengan memperkenalkan produk asas, meningkatkan ketelusan harga, mengukuhkan sistem kesihatan digital, memperluas pilihan perkhidmatan kesihatan berkos rendah, serta memanfaatkan penjagaan primer bagi mengurangkan kos inflasi perubatan,” katanya.
Tambah beliau, rombakan MHIT itu melibatkan penambahbaikan produk asas, yang dijangka siap menjelang hujung tahun ini dan akan dilaksanakan di kawasan terpilih pada tahun hadapan.
Menurutnya, kerangka RESET yang dibangunkan itu berasaskan lima teras strategik dan disokong oleh 11 kumpulan kerja khusus bagi menambah baik perkhidmatan perubatan, meningkatkan pelaksanaan dan menangani kenaikan kos premium insurans kesihatan dalam tempoh tiga tahun.
Beliau berkata demikian pada sidang media prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2025, di sini, hari ini.
Sebelum ini, BNM bersama industri insurans dan takaful telah melaksanakan langkah sementara untuk membantu pemegang polisi yang berdepan semakan semula premium MHIT.