PUTRAJAYA, 15 Ogos - Prestasi ekonomi Malaysia bagi separuh pertama 2025 membuktikan dasar-dasar bawah kerangka Ekonomi MADANI membuahkan hasil untuk negara dan rakyat, meskipun ekonomi global berdepan dengan ketidaktentuan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.4 peratus bagi separuh pertama tahun ini, menepati ambang unjuran rasmi 4 peratus hingga 4.8 peratus.
Jelasnya, kadar pengangguran susut kepada 3 peratus pada suku kedua, berbanding 3.1 peratus suku sebelumnya.
Manakala inflasi keseluruhan menyederhana kepada 1.3 peratus berbanding 1.5 peratus pada suku pertama, menggambarkan prospek ekonomi Malaysia yang menggalakkan.
“Pengukuhan ringgit sebanyak 5.3 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua 2025, menjadikannya
antara mata wang berprestasi terbaik di Asia, seterusnya mencerminkan keyakinan pelabur
terhadap pengurusan ekonomi dan fiskal negara.
''Justeru, Kerajaan MADANI akan terus
komited dalam mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus pada 2025,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Melangkah ke hadapan, langkah tarif yang diumumkan baru-baru ini menimbulkan cabaran baharu kepada industri terlibat.
Sehubungan itu, Kerajaan MADANI giat memantau potensi impak perkembangan ini dan kekal komited untuk menyediakan sokongan bersasar bagi melindungi daya saing serta meminimumkan gangguan perdagangan.
Langkah ini, disertai dengan reformasi struktural yang lebih meluas, telah menyokong momentum pertumbuhan yang stabil dan menyeluruh pada suku ini.
Berpandukan kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Kementerian Kewangan sedang merangka Belanjawan 2026 melalui sesi libat urus komprehensif bersama pihak berkepentingan di pelbagai sektor dan negeri.
Keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan langkah reformasi ekonomi dan struktural
bagi memastikan manfaat pertumbuhan dapat dinikmati secara saksama dan mampan oleh
rakyat.
Usaha-usaha ini penting untuk mengukuhkan asas ekonomi serta memastikan Malaysia kekal tangkas dan berdaya tahan dalam persekitaran global yang dinamik.