fb fb fb fb fb

Unjuran KDNK 2025 kekal 4.0 hingga 4.8 peratus - BNM

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Ogos- Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 antara 4.0 hingga 4.8 peratus, dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan hasil rundingan tarif.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata jangkaan tersebut dibuat berdasarkan andaian kadar tarif antara 25 hingga 30 peratus, yang masih berada dalam julat unjuran pertumbuhan.

"Dalam unjuran pertumbuhan 4.0 hingga 4.8 peratus, kami telah mengambil kira pelbagai kemungkinan hasil daripada tarif.

Berdasarkan andaian kadar tarif antara 25 hingga 30 peratus, ia masih berada dalam julat pertumbuhan tersebut, maka tiada keperluan untuk menyemak semula angka itu. Penyelesaian rundingan ini juga telah mengurangkan ketidakpastian,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Kedua 2025 (S2 2025) Malaysia, di sini, hari ini.

Tambah beliau, ketidakpastian tarif sektor tertentu dan rundingan dengan beberapa negara yang belum dimuktamadkan masih boleh mempengaruhi prospek pertumbuhan.

Terdahulu, Amerika Syarikat (AS) mengurangkan tarif import Malaysia kepada 19 peratus berkuat kuasa 1 Ogos 2025, lebih rendah berbanding kadar 25 peratus yang dijadualkan sebelum ini.

Mengulas mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), beliau berkata penurunan OPR kepada 2.75 peratus memberi rangsangan tambahan kepada pertumbuhan domestik dalam keadaan inflasi yang sederhana.

Menurutnya, BNM akan terus memantau perkembangan persekitaran luaran, khususnya kesan rundingan tarif terkini terhadap Malaysia.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM