KUALA LUMPUR, 17 Jun - Malaysia terpaksa mengimport getah asli bernilai RM7.6 bilion tahun lalu, meski mencatatkan eksport produk berasaskan getah mencecah RM37 bilion.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ketidakseimbangan ketara itu berlaku kerana pengeluaran getah asli tempatan, iaitu hanya sekitar 380,000 tan metrik setahun, jauh lebih rendah berbanding kapasiti sebenar negara yang mampu mencecah 1.2 juta tan metrik.
Jelas Datuk Seri Johari, sebahagian besar tanah berkenaan merupakan milik pekebun kecil secara persendirian dan berselerak, menyebabkan ia tidak sesuai untuk operasi berskala besar secara ekonomi.
Bagi menangani isu ini, kerajaan kini memperkukuh peranan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dalam usaha konsolidasi tanah agar estet-estet getah dapat diurus secara komersial oleh syarikat swasta.
“Tanah-tanah ini milik pekebun kecil yang tidak diusahakan, ia milik persendirian dan tidak boleh diambil. Sekiranya hendak mengusahakan satu sahaja juga tidak boleh kerana tiada skala ekonomi.
Ketika ini kerajaan melalui RISDA akan menjaga pekebun-pekebun kecil ni supaya boleh konsolidasi supaya sektor peribadi boleh menguruskan estet-estet secara komersial berskala besar," beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dana Hubungan Industri (ILF) 2.0 di ibu negara.
Tambah beliau, jika tanah tidak mencukupi dari segi keluasan, ia akan menyukarkan syarikat untuk membina kemudahan asas seperti tempat tinggal pekerja yang penting bagi menjamin produktiviti serta kelangsungan operasi ladang.
Beliau menegaskan bahawa tindakan segera perlu diambil untuk memulihkan dan mengoptimumkan penggunaan tanah serta struktur pengurusan tenaga kerja bagi mengurangkan kebergantungan kepada import bahan mentah, sekali gus memperkukuh kedudukan industri getah negara secara menyeluruh.