fb fb fb fb fb

Malaysia berpeluang perkukuh daya saing ekonomi menerusi pelan tindakan ASEAN

Penganalisis Ekonomi Unikl Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid

KUALA LUMPUR, 30 Mei - Malaysia berpotensi besar untuk memperkukuh daya saing ekonomi dalam sektor eksport dan pelaburan digital, menerusi pelan tindakan serantau ASEAN yang menekankan pengukuhan integrasi ekonomi dan kerjasama digital.

Penganalisis Ekonomi Unikl Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, negara perlu memanfaatkan sepenuhnya pelan tersebut dan terus memimpin dalam pelaksanaan inisiatif nasional yang boleh diperluas ke peringkat ASEAN.

Katanya, Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini dilihat sebagai platform strategik untuk Malaysia meneroka pasaran baharu dalam eksport.

Khususnya dalam sektor automotif, melalui pengukuhan rantaian bekalan serantau dan perluasan kerjasama perdagangan dengan blok ekonomi luar seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Sebagai contoh, kita boleh wujudkan kereta ASEAN, di mana komponen dibina di Malaysia, Thailand dan Vietnam secara bersepadu. Ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah memperkukuh hubungan perdagangan serantau,” katanya kepada RTM.

Dalam konteks pelaburan digital, Malaysia dilihat berada pada kedudukan strategik sebagai hab pusat data serantau, dengan penyertaan syarikat gergasi seperti AWS, Google dan Microsoft yang juga satu kelebihan yang boleh diperluaskan menerusi kerjasama digital ASEAN.

Ekosistem digital ASEAN harus dibina secara bersama agar manfaat pelaburan itu dapat dikongsi secara lebih meluas, sekali gus mewujudkan ekosistem serantau yang lebih inklusif dan berdaya saing.

TETITIA YUSOFF