KUALA LUMPUR, 23 Julai – Pengumuman penghargaan tunai RM100 secara sekali beri kepada rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai langkah positif dalam kerangka fiskal sedia ada dan mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus berbelanja secara berhemah demi membantu rakyat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata usaha konsolidasi fiskal yang telah dilaksanakan kerajaan sebelum ini membuka ruang kepada dasar perbelanjaan yang lebih bersasar dan efektif.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
“Bantuan tunai sekali beri sebanyak RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), melibatkan peruntukan RM2 bilion, dijangka merangsang perbelanjaan pengguna dan menyokong pertumbuhan permintaan domestik.
“Suntikan ini dijangka membantu mengurangkan kesan kelembapan ekonomi global, khususnya menjelang separuh kedua tahun ini yang berdepan risiko ketidaktentuan termasuk situasi tarif oleh Amerika Syarikat,” katanya ketika dihubungi RTM.
Beliau turut menyifatkan langkah itu sebagai tindakan proaktif kerajaan yang melengkapi dasar monetari sedia ada oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Mengenai pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol RON95 yang dijangka diumumkan pada akhir September, Dr Afzanizam berkata langkah itu memperlihatkan iltizam kerajaan MADANI untuk melaksanakan reformasi fiskal secara bertanggungjawab, walaupun mungkin kurang popular dalam jangka pendek.
“Langkah ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam mengurus kewangan negara secara berhemah serta mewujudkan ruang fiskal bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan membantu rakyat secara lebih bersasar,” jelasnya.
Tambah Dr. Afzanizam, penetapan harga baharu RON95 kepada RM1.99 seliter bagi golongan yang layak adalah pendekatan berhati-hati yang mengambil kira sensitiviti rakyat terhadap harga bahan api.
Beliau turut menjangkakan langkah itu akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan kerajaan dalam mengurus fiskal negara secara cekap, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi domestik.