fb fb fb fb fb

Kurang pemangkin baharu, Bursa Malaysia dibuka rendah

BURSA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 27 September- Bursa Malaysia memulakan dagangan Jumaat dengan lebih rendah berikutan kekurangan pemangkin baharu walaupun pasaran Wall Street meningkat susulan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kukuh, kata penganalisis.

Pada 9.10 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.89 mata kepada 1,663.43 daripada paras 1,671.32 yang dicatatkan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 2.73 mata pada 1,668.59.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengtasi untung iaitu 233 berbanding 125 dengan 305 kaunter tidak berubah, 1,863 tidak diniagakan dan 123 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 188.22 juta unit bernilai RM99.28 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street mengakhiri dagangan dengan positif, didorong oleh data ekonomi yang baik, terutama tuntutan pengangguran yang menurun.

Purata Perindustrian Dow Jones naik 260 mata manakala Nasdaq menokok sebanyak 108 mata dengan hasil Perbendaharaan 10 tahun AS meningkat pada 3.79 peratus.

“Di peringkat domestik, FBM KLCI ditutup rendah pada Khamis berikutan aktiviti pengambilan untung oleh dana asing pada sesi akhir.

"Jumlah dagangan harian pula kekal rendah pada nilai ambang tiga bilion yang menunjukkan fasa konsolidasi berterusan dalam bursa tempatan mungkin memakan masa lebih lama daripada dijangkakan," katanya kepada Bernama.

Berikutan itu, Thong menjangkakan indeks petunjuk utama akan berlegar dalam julat 1,665-1,675 pada dagangan hari ini.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan CIMB Group susut dua sen kepada RM10.64 dan RM8.26, Public Bank turun tiga sen kepada RM4.64, Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM14.68 dan IHH Healthcare meraih lima sen kepada RM7.15.

Bagi saham aktif, Lambo Group susut 1.5 sen kepada satu sen, Artroniq dan Globetronics turun setengah sen kepada 11.5 sen dan 71.5 sen, JKG Land menokok dua sen kepada 12.5 sen dan Zen Tech International tidak berubah pada satu sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas berkurangan 47.03 mata kepada 12,412.87, Indeks FBM Emas Shariah susut 40.18 mata kepada 12,289.29, Indeks FBMT 100 turun 47.56 mata kepada 12,111.16, Indeks FBM 70 menguncup 31.59 mata kepada 17,466.67 manakala Indeks FBM ACE kehilangan 19.75 mata kepada 5,178.09.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 83.68 mata kepada 19,592.18, Indeks Tenaga susut 11.21 mata kepada 844.83 dan Indeks Perladangan turun 11.28 mata kepada 7,173.68 namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.24 mata kepada 177.13. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA