fb fb fb fb fb

Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan dapat peruntukan RM100,000 daripada KUSKOP

FOTO Suruhanjaya Koperasi Malaysia SKM

KOTA KINABALU,10 Februari- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan untuk membina sebuah pusat pemprosesan sarang burung walit di Kampung Sinukab Kanibongan, Pitas.

Peruntukan yang disalurkan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), itu diharap dapat membantu koperasi dan ahli-ahli koperasi berkenaan meningkatkan pendapatan mereka.

Datuk Ewon menerusi satu kenyataan berkata, beliau percaya perusahaan sarang burung walit tersebut boleh memberikan pendapatan kepada ahli-ahli koperasi sekiranya diusahakan dan diurus dengan baik.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke tempat pemprosesan sarang burung walit milik koperasi itu yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda, Pengarah SKM Sabah Matias Kundapin dan pemimpin masyarakat setempat.

Dalam lawatan tersebut, beliau diberikan taklimat ringkas mengenai industri burung walit di Sabah khususnya di Kanibongan oleh Ketua Unit Walit dan Aneka Ternakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah Jobit Sulangi.

Jobit berkata harga sarang burung walit amat lumayan dengan kategori Sarang Mangkuk pada harga RM3,700 sekilogram, Patahan Besar (RM2,900), dan Kaki Sarang (RM1,900).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE