fb fb fb fb fb

Kerjasama Dviation–Marubeni kukuh kedudukan Malaysia sebagai hab MRO serantau

Kerjasama strategik antara Dviation Group dan Marubeni Corporation disifatkan sebagai pemacu utama dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi MRO / Foto RTM

SHAH ALAM, 8 Mei - Kerjasama strategik antara Dviation Group dan Marubeni Corporation disifatkan sebagai pemacu utama dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi aktiviti Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) aeroangkasa, sekali gus mengangkat nama negara di peringkat Asia Pasifik.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri berkata kolaborasi tersebut mencerminkan keupayaan industri tempatan untuk terus relevan dan berdaya saing dalam ekosistem aeroangkasa global.

“Kita mengalu-alukan kolaborasi seperti ini kerana ia bukan sahaja memperkukuh ekosistem tempatan, tetapi juga mengangkat Malaysia sebagai sebahagian penting daripada rantaian bekalan global dalam sektor MRO,” katanya selepas melancarkan perkhidmatan KarbonMRO Hangar dan Enjin Karbon, di sini.

Beliau turut memaklumkan industri aeroangkasa Malaysia kini sedang mengalami lonjakan ketara dengan sasaran nilai sebanyak RM55 bilion menjelang tahun 2030 di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).

Setakat ini, nilai industri telah meningkat hampir RM25 bilion sejak tahun 2021 dan pelaburan seperti yang dilaksanakan oleh KarbonMRO dilihat sebagai pemacu penting kepada pencapaian sasaran tersebut.

KarbonMRO Services Sdn Bhd merupakan hasil kerjasama strategik antara Dviation Group dari Malaysia dan Marubeni Corporation dari Jepun.

Syarikat itu secara rasmi melancarkan kemudahan penyelenggaraan pesawat dan enjin komersial miliknya, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam pertumbuhan syarikat tersebut serta komitmennya terhadap pemerkasaan industri MRO aeroangkasa di Malaysia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN