fb fb fb fb fb

Kerajaan rangka strategi nasional, NGCC perkukuh ekonomi

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 24 Mac - Strategi nasional yang mantap sedang dirangka termasuk penubuhan “National Geoeconomic Command Centre” (NGCC) bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, inisiatif penting itu akan memantau tarif, sekatan dan risiko rantaian bekalan, sekali gus menyelaras tindak balas merentas kementerian dan sektor.

“Fokus kita adalah untuk mencari solusi pintar dan membina kredibiliti sebagai rakan dagang utama yang neutral untuk semua kuasa besar,” katanya menerusi hantaran di laman sosial X.

Beliau berkata mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh ketahanan ekonomi negara.

Terdahulu, menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata Malaysia perlu mempercepat eksplorasi dan aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan menggalakkan inovasi dan mengadaptasi pendekatan rentas kementerian dan agensi secara menyeluruh.

Beliau berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat dipengerusikannya hari ini, mengenai Strategi Teknologi AI dan aset digital yang berpotensi memupuk pertumbuhan ekonomi negara lebih mampan

TETITIA YUSOFF