KUALA LUMPUR, 24 Mac - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) disasar meningkatkan eksport barangan negara sebanyak lima peratus tahun ini kepada RM1.58 trilion.
Pengerusinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia susulan kejayaan agensi bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu melepasi nilai eksport barangan sebanyak RM1.5 trilion pada tahun lalu.
"Alhamdulillah, apabila berakhirnya 2024, kita berjaya mencatat RM1.51 trilion, tambah lebih kurang lagi RM10 bilion dan ini lagi satu kejayaan yang amat-amat cemerlang dan membuka pintu 2025. Kita melihat bahawa ia mungkin akan berdepan dengan beberapa cabaran.
"Antaranya cabaran ketidaktentuan daripada segi ketegangan geopolitik atau perang dingin, perang perdagangan. Juga adalah perubahan-perubahan dasar-dasar oleh "economic power house" sama ada China, mahupun Amerika Syarikat, terutama AS yang akan meninggalkan kesan kepada kita," kata Reezal Merican kepada media pada Majlis Iftar MATRADE 2025, di ibu negara.
Tambahnya, MATRADE akan merangka strategi baharu sepanjang tahun ini dalam mendepani keputusan yang dibuat oleh kuasa perdagangan global terutamanya daripada Amerika Syarikat.