fb fb fb fb fb

Kegiatan beli saham murah, dorong Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 November- Kegiatan pembelian saham berharga murah yang sederhana mendorong Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini selepas mencatatkan penurunan selama lima hari berturut-turut, kata seorang penganalisis.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.95 mata kepada 1,450.10 berbanding penutupan Isnin iaitu 1,448.15. Indeks barometer dibuka pada paras 1,450.19, meningkat 2.04 mata.

Pergerakan harga di pasaran menampakkan perbezaan yang amat tipis iaitu kaunter untung dan rugi masing-masing pada 134 dan 133, manakala 236 kaunter tidak berubah, 1,907 tidak diniagakan dan 72 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 282.34 juta unit bernilai RM54.20 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah sedikit apabila peniaga ‘berehat’ seketika selepas mempamerkan prestasi kukuh bulan ini.

Purata Perindustrian Dow Jones kehilangan 57 mata (-0.16 peratus) manakala Nasdaq kerugian 10 mata (-0.07 peratus) dan hasil Perbendaharaan 10 tahun AS merosot kepada 4.39 peratus.

Di Hong Kong pula, Indeks Hang Seng susut 34 mata (-0.2 peratus) kerana sentimen kekal berhati-hati menjelang laporan ekonomi China yang mungkin menjuruskan kepada kelembapan disebabkan kekurangan rangsangan.

Sementara di pasaran domestik, FBM KLCI ditutup di bawah paras 1,450 pada Isnin kerana dagangan masih lesu berikutan kekurangan pemangkin baharu selain mengambil petunjuk daripada pergerakan lemah bursa serantau lain.

“Namun begitu, kami menjangkakan dengan adanya kegiatan memburu saham murah, indek mungkin bergerak dalam lingkungan 1,445-1,455,” kata Thong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Sime Darby meningkat 4.0 sen kepada RM2.42, IHH Healthcare dan Petronas Chemicals masing-masing menambah 3.0 sen untuk mencatatkan harga RM5.83 and RM7.12, Maybank meraih dua sen kepada RM9.08 dan Public Bank menambah satu sen kepada RM4.25.

Bagi saham aktif, Vestland turun setengah sen kepada 34.5 sen dan MRCB susut 2.0 sen menjadi 42 sen manakala G3 Global dan GFM Services masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan 22.5 sen dan JCY menokok setengah sen kepada 23.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas memperoleh 10.33 mata kepada 10,735.79, Indeks FBMT 100 meningkat 10.07 mata untuk mencatatkan paras 10,400.69 dan Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 9.71 mata kepada 10,883.77.

Indeks FBM ACE meraih 11.51 mata kepada 5,118.88 tetapi Indeks FBM 70 turun 3.24 mata kepada 14,278.10.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengembang 25.76 mata kepada 16,367.66 dan Indeks Perladangan meningkat 19.45 mata kepada 6,962.90.

Bagaimanapun, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.23 mata untuk mencatatkan paras 172.01 manakala Indeks Tenaga susut 0.81 mata kepada 829.87.- BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM